11 September 2009

Kisah renungan

Maafkan Cikgu

Saya mengajar di sekolah rendah di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur . Saya mengajar sesi petang. Salah seorang murid saya setiap hari datang lambat ke sekolah. Kasut dan bajunya selalu kotor. Setiap kali saya bertanya tentang baju dan kasutnya dia hanya berdiam diri. Saya masih bersabar dengan keadaan pakaiannya, tetapi kesabaran saya tercabar dengan sikapnya yang setiap hari datang lambat.

Pada mulanya saya hanya memberi nasihat. Dia hanya menundukkan kepala tanpa berkata kecuali anggukkan yang seolah-olah dipaksa. Kali kedua saya memberi amaran, dia masih juga mengangguk tetapi masih juga datang lambat keesokannya. Kali ketiga saya terpaksa melaksanakan janji saya untuk memukulnya kalau dia masih lambat. Anehnya dia hanya menyerahkan punggungnya untuk dirotan. Air mata saja yang jatuh tanpa sepatah kata dari mulutnya.

Keesokan harinya dia masih juga lambat. Saya memukulnya lagi. Namun ia masih tetap datang ke sekolah dan masih tetap lambat.

Suatu hari, saya bercadang untuk mengintipnya di rumahnya. Setelah mendapatkan alamatnya, saya meneruskan niat saya.

Dia tinggal di sebuah kawasan setinggan tidak berapa jauh dari sekolah. Keadaan rumahnya sangat daif. Saya nampak murid saya itu sedang berdiri di depan rumahnya dalam keadaan gelisah. Seorang wanita yang mungkin ibunya juga kelihatan gelisah.

Lebih kurang pukul 1.30 seorang anak lelaki berlari sekuat hati menuju ke rumah itu. Sambil berlari dia membuka baju sekolahnya. Sampai di depan rumah baju dan kasutnya diserahkan pula kepada murid saya yang terus bergegas memakainya. Sebelum pakaian sekolah sempurna dipakai, dia sudah berlari ke arah sekolah.

Saya kembali ke sekolah dengan penuh penyesalan. Saya memanggil anak itu sambil menahan air mata yang mula tergenang.

"Maafkan cikgu. Tadi cikgu pergi ke rumah kamu dan memerhatikan kamu dari jauh. Siapa yang berlari memberikan kamu baju tadi?"

Dia terkejut dan wajahnya berubah.

"Itu abang saya. Kami kongsi baju dan kasut sebab tak ada baju lain. Itu saja baju dan kasut yang ada. Maafkan saya, cikgu," jawabnya

"Mengapakah kamu tidak beritahu cikgu? Mengapakah kamu biarkan saja cikgu pukul kamu?"

"Emak berpesan, jangan meminta-minta pada orang, jangan ceritakan kemiskinan kita pada orang. Kalau cikgu hendak pukul serahkan saja punggung kamu."

Sambil menahan air mata yang mula berguguran saya memeluk anak itu. "Maafkan cikgu ...."

Kejadian itu cukup menginsafkan saya. Selepas itu saya cuba membantunya setakat yang mampu.

Tamat.


Cerita begini membantu melembutkan hati yang keras. Kata seorang guru, sekiranya hati kita mula keras lembutkanlah dengan solat sunat, puasa sunat, berzikir, bersedekah, mengusap rambut anak yatim, mendengar cerita kesusahan orang lain dan membantu orang susah. Kisah ini dipetik daripada http://blogs. iium.edu. my/martinelli/ 2009/06/18/ maafkan-cikgu/. Suntingan minimum oleh Cikgu Isa.

Kisah ini menyebabkan hati saya hiba. Terima kasih saya ucapkan kepada penulis asal dan Cikgu Rosli yang menyebarkan kisah ini.

Saya bersetuju dengan Cikgu Rosli bahawa kisah seperti ini dapat melembutkan hati. Antara kisah yang tersebar di Internet dan mendapat perhatian istimewa saya ialah "Pencuri Biskut" (penulisnya tidak diketahui), kisah "Ya Habiballah: Subuh" oleh Abd Jamil Lam dan "Pulangkan Tangan Saya" (penulisnya tidak jelas).


Cerita dipetik sepenuhnya dari: Grup_PM

1 ulasan:

niesz berkata...

cite ni niesz da pnh bc..
but ape pon..
tnyer dulu sblm salah kan org lain..
kot2 mmg die betull.
kite salahkan plak..
xpatut kan..