16 September 2009

16 September

PERISYTIHARAN MALAYSIA

Selepas rundingan terakhir antara kesemua pihak yang terlibat selesai dijalankan, Perjanjian Malaysia ditandatangani pada 8 Julai 1963 di Marlborough Huse, London antara kerajaan Britain, Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, sabah dan Sarawak. Perjanjian ini membenarkan peralihan kedaulatan Sabah, Sarawak dan Singapura daripada kerajaan Britain kepada kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Pada 20 Ogos 1963, Rang Undang-undang Malaysia diluluskan oleh Dewan Rakyat dengan 73 undi menyokong dan 15 undi menentang. Seterusnya pada 26 Ogos 1963, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan rang undang-undang tersebut. Pada masa yang sama, rang undang-undang berkenaan diluluskan oleh Majlis Undangan Singapura, Majlis Undangan Seri Sabah dan Majlis Negeri Sarawak. Parlimen British juga meluluskan rang undang-undang yang sama dan mendapat perkenan daripada Ratu Elizabeth II.

Perisytiharan Malaysia dibuat pada 16 September 1963 secara serentak di seluruh negara, iaitu di Kuala Lumpur sebagai ibu negara, Singapura, Jesselton dan Kuching. Perisytiharan di Kuala Lumpur dilakukan di Stadium Merdeka oleh Tunku Abdul Rahman dengan dihadiri oleh Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Putra ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail dan Raja-raja Melayu. Perisytiharan di Sabah pula dilakukan oleh Ketua Menteri, Donald Stephens di hadapan Yang Dipertua Negeri, Datu Mustapha bin Datu Harun dan wakil kerajaan persekutuan, Dato' Abdul Razak bin Dato' Hussein. Sementara perisytiharan di Kuching dibuat oleh wakil Kerajaan Persekutuan, Mohd Khir Johari dengan dihadiri oleh Yang Dipertuan Negeri, Abang Haji Openg Abang Sapiee dan Ketua Menteri, Stephen Kalong Ningkan.

Dipetik sepenuhnya dari buku Sejarah Malaysia, Ruslan Zainuddin (m/s 689-690)

Begitulah serba sedikit rentetan perisyhtiran pembentukan Malaysia 46 tahun yang lalu. Kini kita seharusnya bersyukur dengan kebebasan, keamanan dan keharmonian yang telah kita kecapi.

Tiada ulasan: